BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 2, 2008

Asigmnt Psikologi Pendidikan (TUTOR:CIK FARIDAH)

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

NATIONAL UNIVERSITY OF MALAYSIA

FAKULTI PENDIDIKAN

PROGRAM SARJANAMUDA PENDIDIKAN DENGAN KEPUJIAN

( PENDIDIKAN AL-QURAN )

SESI 2006/2007

GGGB 1133: PSIKOLOGI PENDIDIKAN

TUTOR : CIK FARIDAH BINTI YUNUS

NAMA AHLI KUMPULAN:

1. MOHD MUZAIDI BIN MAHMAD (A 111392)

2. MUHAMMAD ARSHAD BIN CHE HASSAN (A 115982)

ISI KANDUNGAN

Bil

Kandungan

Muka surat

1

Penghargaan

2

Tugasan 1

3

Konsep Kendiri

4

Struktur Konsep Kendiri

5

Esteem Kendiri

6

Efikasi Kendiri

7

Kepentingan Efikasi Kendiri Kepada Remaja

8

Tugasan 2

9

Kesimpulan

10

Senarai Rujukan

Bism_arb.gif (2973 bytes)

PENGHARGAAN

Terlebih dahulu setinggi-tinggi syukur alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T di atas limpah kurnia, hidayah dan juga rahmat-Nya kerana memberikan keizinan dan kesihatan tubuh badan, masa yang mencukupi dan kematangan fikiran kepada kami dalam menyiapkan tugasan ini. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada Dr Saemah Binti Rahman, selaku penyelaras subjek Psikologi Pendidikan ini. Tidak lupa juga, diucapkan ucapan ribuan terima kasih kepada Cik Faridah Binti Yunus, selaku tutor kami dalam subjek ini di atas penyampaian tunjuk ajar yang amat berguna dalam memahami ilmu dan juga bidang tugas seorang guru ini sepertimana yang dikehendaki oleh kerajaan dalam menjadikan rakyat Malaysia ke arah masyarakat yang berilmu dan maju menjelang tahun 2020 nanti.

Tidak lupa juga, ucapan terima kasih juga diucapkan kepada tenaga-tenaga pengajar dan juga pensyarah-pensyarah yang lain, juga kepada sahabat-sahabat kami yang lain, yang turut mengambil kursus dalam bidang yang sama iaitu Ijazah Sarjanamuda Pendidikan Dengan Kepujian sesi 2006/2007 kerana banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar serta dorongan kepada kami dalam menyiapkan tugasan dan laporan ini. Jasa anda semua dalam segala bentuk bantuan yang kami kurang faham berkaitan dengan tugasan ini, amatlah dihargai dan disanjungi. Semoga segala usaha dan juga kajian yang kami jalankan ini dapat diaplikasikan bagi memperelokkan lagi profesion perguruan bagi memenuhi matlamat ke arah masyarakat yang berilmu dan berpendidikan menjelang tahun 2020 nanti.

Sekian, terima kasih.....

TUGASAN 1

Kami diminta menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan konsep kendiri, esteem kendiri dan efikasi kendiri.

DEFINISI KONSEP KENDIRI:

Konsep kendiri ditakrifkan sebagai penilaian dan pemahaman seseorang ke atas dirinya sendiri atau bagaimana dia menganggap tentang dirinya sendiri sama ada secara positif atau negatif. Untuk membina konsep kendiri, seseorang individu itu juga perlu menerima penilaian dan juga pandangan daripada orang luar atau orang lain berkenaan dengan pandangan mereka terhadap diri individu tersebut. Konsep kendiri ini meliputi persepsi tentang diri sendiri dan alam kehidupan yang berada di sekelilingnya melalui dirinya. Konsep kendiri juga berkait rapat dengan perasaan tentang kebolehan diri seseorang individu itu meliputi keyakinan dan harga dirinya.

Konsep kendiri adalah berkaitan dengan semua persepsi kita terhadap diri kita sendiri, dari segi kebolehan diri, kesukaan, personaliti atau pun sahsiah, kemahiran dan sebagainya tentang diri kita sendiri. Semua persepsi kita tersebut adalah mempengaruhi semua tindak tanduk dan juga tindakan kita sama ada bertindak secara positif atau pun negatif. Sebarang tindakan atau tindak tanduk yang lahir daripada kita sebenarnya adalah berdasarkan tahap konsep kendiri yang kita miliki. Seandainya tahap konsep kendiri kita adalah positif, maka tindakan atau tindak tanduk yang lahir adalah bersifat positif dan begitulah juga jika sebaliknya.

Ia juga merujuk kepada koleksi pengetahuan diri, idea atau pun pendapat, sikap dan juga kepercayaan berkenaan dengan diri kita sendiri. Pengetahuan diri, idea atau pun pendapat, sikap dan juga kepercayaan yang dimaksudkan di sini adalah segala pengetahuan yang dapat mempengaruhi seseorang individu untuk membina konsep kendiri yang positif. Contohnya pengetahuan seseorang individu tentang kegiatan rempit yang begitu berleluasa dan menjadi-jadi di kalangan remaja pada masa kini.

Jika seseorang itu beranggapan bahawa gejala rempit adalah tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang, maka remaja itu tidak akan terlibat dalam gejala ini serta merempit di jalan raya. Ini kerana gejala rempit itu membahayakan diri dan keadaan mereka sendiri dan ia juga adalah menggambarkan gambaran yang sebenar tentang tuan punya badan itu sendiri bahawa mereka adalah seorang yang mempunyai konsep kendiri yang negatif dengan merempit bersama-sama kawan-kawan mereka yang lain.

Konsep kendiri juga adalah bersifat abstrak, iaitu tidak berupa atau pun tidak bersifat kebendaan. Ini kerana ia tidak dapat dilihat atau dirasa dengan anggota pancaindera kita yang utama. Konsep kendiri ini tidak dapat dan susah untuk dibaca oleh orang lain kecuali diri kita sendiri. Walau pun begitu, ianya mempengaruhi segala tindak tanduk kita di mana kita akan bertindak mengikut tahap konsep kendiri yang kita sendiri membinanya.

Konsep kendiri ini bersifat multi-dimensi, iaitu banyak sudut. Sudut yang dimaksudkan di sini adalah berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas atau pun bilik darjah. Antaranya ialah pemahaman tentang sesuatu benda atau perkara, di mana tahap konsep kendiri seseorang individu itu mempengaruhi daya ingatan dan kadar pemahaman tentang pelajaran yang diajar oleh guru di dalam bilik darjah sama ada lambat atau pun cepat. Begitu juga dengan proses pemikiran dan juga penaakulan untuk memahami perkara-perkara yang telah diajar oleh guru-guru sewaktu di dalam kelas.

Begitu juga dengan cara untuk menyelesaikan masalah yang timbul di dalam soal pembelajaran di mana seseorang individu yang berkendiri positif yang tinggi boleh menyelesaikan masalah yang timbul secara bersendirian tanpa bantuan daripada kawan-kawan atau orang lain. Selain itu, individu itu juga akan tolong-menolong membantu menyelesaikan masalah kawan-kawan mereka terutamanya yang berkaitan dengan soal pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Jenis-jenis konsep kendiri dan ciri-cirinya.

Menghargai

Memuji orang lain

Rounded Rectangle: Konsep Kendiri       PositifPuas hati dengan

pencapaian

Murah hati

Mudah berkawan

Puas hati dengan dirinya

Berpuas hati dengan

bahan-bahan kepunyaannya Peramah

KONSEP KENDIRI POSITIF:

Konsep kendiri positif bermaksud seseorang itu percaya dan yakin kepada diri sendiri secara lebih sihat, mempunyai minat yang baik dan objektif serta tidak terlalu sensitif. Konsep kendiri positif juga meliputi sikap sanggup menerima kritikan dan pandangan daripada orang lain berkaitan dengan dirinya dengan fikiran yang terbuka. Individu itu juga akan berani memberikan pandangan dan pendapat jika wujud sesuatu keadaan yang tidak baik atau pun tidak stabil.

STRUKTUR KONSEP KENDIRI:

Konsep kendiri adalah bersifat bukan akademik, di mana ianya hanya berkaitan dengan rupa paras atau kebolehan fizikal. Contohnya, jika kita merasakan diri kita adalah yang terbaik berbanding dengan orang lain, maka kita akan menjadi lebih yakin di dalam kehidupan kita. Kita juga akan berusaha dengan sebaik mungkin supaya kita sentiasa berada terkehadapan daripada orang lain dalam setiap aspek terutamanya yang berkaitan dengan soal-soal pembelajaran.

Konsep kendiri juga mempunyai kaitan dengan pencapaian diri individu, di mana seseorang individu yang mempunyai konsep kendiri yang tinggi adalah lebih berkeyakinan dan sentiasa gembira dengan hidupnya. Manakala seseorang individu yang mempunyai konsep kendiri yang agak rendah akan mempengaruhi seseorang itu ke arah kemurungan dan sentiasa resah dengan keadaan dirinya, walau pun pada dasarnya individu tersebut juga mampu melakukan sesuatu seperti insan yang lain.

Contohnya, jika seseorang individu yang mempunyai konsep kendiri yang tinggi membuat sesuatu kerja dengan penuh yakin dan berminat, maka hasil atau natijah yang akan diperolehinya cukup tinggi dan berharga, setimpal dengan usaha yang telah dilakukannya. Begitu juga dengan seseorang yang melakukan sesuatu kerja sambil lewa atau pun melepaskan batuk di tangga, maka hasilnya hanyalah sekadar memuaskan hatinya sahaja.

Konsep kendiri memberi kesan big-fish little-pond kepada diri individu tersebut. Konsep big-fish little-pond ini adalah tentang kejayaan individu atau pun pelajar itu mendapat sesuatu benda berdasarkan tahap kendirinya sendiri. Jika tahap kendiri seseorang individu itu tinggi, maka hasil yang akan dicapai oleh individu tersebut juga cukup tinggi. Tetapi, seandainya konsep kendiri seseorang individu itu cukup rendah, maka dia akan mendapat hasil atau pun keputusan yang tidak begitu memuaskan untuk dirinya sendiri.

Contohnya, seorang pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang tinggi merupakan pelajar yang berminat dan bermotivasi untuk belajar. Pelajar tersebut juga mempunyai matlamat unuk mencapai kejayaan setinggi mungkin di dalam bidang pengajiannya. Dia akan sentiasa bersungguh-sungguh di dalam bidang pengajiannya walau pun terdapat halangan atau pun ujian yang menantinya. Pelajar juga melihat diri mereka sebagai orang yang berkebolehan dan mahukan kepuasan dalam membuat keputusan kerjaya.

ESTEEM KENDIRI :

Saling berkait rapat dengan konsep kendiri kerana esteem kendiri dihasilkan oleh konsep kendiri. Esteem kendiri ini wujud apabila seseorang individu itu mendapat konsep kendirinya sendiri. Ia mempengaruhi tindakan dan perbuatan individu tersebut.

Esteem kendiri adalah bersifat afektif, iaitu berkaitan dengan perasaan dan emosi seseorang. Ianya tidak melibatkan fikiran atau pun daya seseorang individu itu untuk berfikir atau menaakul tentang sesuatu benda atau perkara. Manakala konsep kendiri pula adalah bersifat kognitif, iaitu segala perkara yang berkaitan dengan proses mental untuk mentafsir, mempelajari dan memahami tentang sesuatu benda terutamanya dalam proses pembelajaran, pemahaman, pemikiran dan pemerolehan maklumat pengetahuan.

EFIKASI KENDIRI:

Efikasi kendiri adalah berkaitan dengan kepercayaan tentang kebolehan dan keupayaan diri sendiri untuk membuat atau melakukan sesuatu benda. Ini adalah lebih kepada kemampuan diri kita sendiri dalam melakukan sesuatu benda atau perkara.

Ia mempengaruhi bagaimana seseorang individu itu merasa, berfikir dan bertindak. Seandainya kita berasa yakin dan berkeupayaan dalam membuat sesuatu benda itu, dengan sendirinya kita akan dapat membuat kerja itu dengan jayanya dan bersungguh-sungguh. Tetapi seandainya kita berasa waswas atau pun ragu-ragu dalam melakukan sesuatu benda itu, maka hasil yang akan kita capai juga kurang memuaskan.

Efikasi kendiri ini juga mempunyai kaitan dengan tahap keyakinan individu tersebut. Contohnya, efikasi kendiri yang tinggi mempengaruhi individu ke arah lebih berkeyakinan manakala efikasi kendiri yang rendah pula akan menyebabkan seseorang individu tersebut menjadi murung dan sentiasa resah dengan keadaan dirinya.

KEPENTINGAN EFIKASI KENDIRI KEPADA REMAJA:

Seperti yang kita semua sedia maklum, zaman remaja merupakan zaman yang paling mencabar dan banyak dugaan bagi setiap individu. Menurut Hasnan Bin Kasnan di dalam bukunya yang bertajuk “Ke Arah Menjadi Pelajar Yang Cemerlang Dan Terbilang”, tempoh umur antara 14 hingga 24 tahun adalah satu tempoh perkembangan fizikal dan mental serta merupakan suatu jangka masa yang mencabar dalam diri dan kehidupan seseorang manusia. Jadi, ia amat mempengaruhi tindakan seseorang remaja dalam melakukan sesuatu benda atau perkara.

Seandainya remaja itu mempunyai efikasi kendiri yang tinggi, remaja tersebut dapat melalui zaman ini dengan berjaya, tetapi seandainya tahap efikasi kendiri remaja itu adalah sangat rendah, maka dia akan mudah terjebak dalam masalah sosial yang memang banyak wujud semenjak akhir-akhir ini. Contohnya gejala lepak, bohsia, bohjan dan juga gejala mat rempit yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Remaja juga memerlukan keyakinan dan kebolehan dalam melakukan sesuatu perkara. Jadi, efikasi kendiri adalah amat penting bagi mewujudkan keyakinan di dalam diri remaja. Seandainya seseorang remaja itu mempunyai kebolehan dan keupayaan dalam melakukan sesuatu benda atau perkara, tetapi remaja tersebut tidak mempunyai tahap efikasi kendiri yang tinggi, maka dia tidak dapat menonjolkan kebolehan dan keupayaan diri yang dia miliki itu dengan sebaik mungkin.

Pada peringkat ini juga, remaja mula mencari-cari keperibadian mereka. Oleh itu, mereka kerapkali terlibat di dalam kenakalan, penentangan dan mengkhuatiri dengan kebolehan dan keupayaan diri sendiri. Remaja yang berjaya mengatasi krisis ini akan menjadi matang dan memperolehi kepastian kendiri tetapi sebaliknya remaja yang gagal mengatasi keadaan ini akan mengalami kemurungan dan cenderung untuk terlibat dalam masalh-masalah sosial tadi. Mereka juga berasa tidak pasti tentang keadaan diri mereka sendiri.

MEMBINA KONSEP KENDIRI DAN EFIKASI KENDIRI:

Untuk membina konsep kendiri dan efikasi kendiri ini, kita perlu sedar tanggapan pada diri kita sendiri. Namun begitu, pandangan dan juga pendapat daripada orang lain terhadap diri kita juga perlu diambil kira. Seandainya pandangan atau pendapat mereka adalah sama dengan kita, ini bermakna kita sudah pun mempunyai bayangan dan konsep kendiri kita yang tersendiri. Pada tahap ini, kita hanya perlu mengembangkannya berdasarkan bayangan yang kita miliki tadi ke arah yang lebih baik lagi supaya ianya tidak akan tergelincir ke arah yang negatif dan terpesong dari landasan yang telah pun kita miliki tadi.

Tetapi seandainya pandangan atau pendapat mereka adalah tidak sama dengan pendapat kita, maka kita perlu menerima pandangan dan juga kritikan mereka dengan hati yang terbuka tanpa menaruh perasaan dendam atau pun benci terhadap orang yang melontarkan pandangan atau pun kritikan itu tadi. Kita menerima segala pandangannya dengan dada yang lapang serta bersedia untuk mengubah diri kita ke arah yang positif dan cuba membaiki diri kita ke arah yang lebih baik lagi. Secara tidak langsung, ia akan membantu kita membentuk matlamat diri kita sendiri. Ini kerana, tiada orang yang dapat membantu kita untuk membentuk matlamat pada diri kita kecuali diri kita sendiri.

Selain itu, konsep kendiri dan efikasi kendiri juga terbina melalui penghargaan yang kita terima. Ini termasuklah melalui meraikan kejayaan yang diperolehi. Contohnya, meraikan kejayaan yang kita perolehi dan kita kecapi bersama-sama dengan keluarga yang tersayang atau pun sahabat handai. Majlis keraian ini dapat menambahkan lagi semangat kita untuk terus berjaya dengan cemerlang pada masa-masa yang akan datang. Kejayaan yang kita perolehi itu juga lebih berharga dan bermakna kerana kejayaan yang kita kecapi itu dapat dikongsi bersama-sama dengan orang-orang yang kita sayangi di sekeliling kita.

Selain itu, kita juga perlu menghormati kekuatan yang sedia ada dengan sebaik-baiknya. Ini akan membuatkan kita tidak terlalu membesar diri atau pun bongkak dengan segala kelebihan dan kekuatan yang Allah S.W.T telah berikan kepada kita. Ia juga bertujuan supaya kita berasa tidak terlalu merendah diri terhadap orang lain kerana berasa tidak ada kekuatan dan juga kelebihan yang kita miliki. Ini seterusnya akan menjadikan diri kita lebih menghargai dan bersyukur dengan kepelbagaian serta kelebihan yang ada pada diri kita. Secara tidak langsung, ia akan menambahkan lagi perasaan bersyukur kita terhadap Allah Yang Maha Berkuasa, yang menganugerahkan sedikit kelebihan dan kekuatan kepada kita.

Selain itu, galakan dan juga sokongan daripada rakan sebaya juga dapat membina konsep kendiri dan efikasi kendiri. Atas dasar itu jugalah kita perlu memilih kawan yang betul supaya kawan yang kita pilih itu dapat mempengaruhi kita ke arah yang lebih baik dan bermanfaat. Ini kerana, seandainya kawan yang kita pilih itu adalah kawan yang baik, maka dia akan membawa kita ke arah kebaikan juga. Sebaliknya, jika kita mempunyai seorang kawan yang tidak baik, maka dia akan mempengaruhi kita ke arah yang tidak baik juga.

Misalnya, seseorang yang mempunyai kawan yang tidak baik lambat laun akan turut terpengaruh dengan kawannya itu. Jika kawannya itu adalah seorang perokok, lambat laun individu tersebut sendiri akan turut merokok bersama-sama dengan kawannya yang merokok itu. Walaupun pada awalnya, individu tersebut mengetahui bahawa perbuatan merokok itu adalah perbuatan yang membazirkan duit dan juga membahayakan kesihatan diri sendiri dan juga orang lain.

TUGASAN 2

Kami diminta supaya menjelaskan apakah peranan yang boleh dimainkan oleh guru-guru dalam menyokong pembinaaan konsep kendiri dan meningkatkan esteem kendiri terhadap para pelajar.

PERANAN GURU DALAM MENYOKONG PEMBINAAN KONSEP KENDIRI DAN ESTEEM KENDIRIPP PELAJAR:

Bagi menjawab persoalan ini, terdapat banyak peranan yang boleh disumbangkan oleh guru dalam menyokong pembinaan konsep kendiri dan meningkatkan esteem kendiri pelajar. Walaupun begitu, kejayaan seseorang pelajar itu untuk membina konsep kendiri dan meningkatkan esteem kendiri mereka adalah bergantung sepenuhnya terhadap usaha yang mereka lakukan sendiri. Ini kerana guru hanyalah dapat memberi nasihat dan bimbingan serta dorongan bagi mereka, manakala mereka sendiri yang akan membentuk konsep kendiri dan meningkatkan esteem kendiri mereka.

Antaranya ialah menerusi unit bimbingan dan kerjaya yang ditubuhkan di sekolah-sekolah. Ini merupakan satu unit yang berkhidmat untuk membimbing dan membantu para pelajar dalam proses pemahaman diri, penerimaan diri, membuat perancangan untuk masa depan dan menguruskan halangan yang mengusutkan fikiran mereka serta mencadangkan jalan-jalan atau pun cara penyelesaian terhadap sebarang masalah yang mereka hadapi. Di antara matlamat unit bimbingan dan kerjaya ini adalah untuk melahirkan pelajar yang mahir, mapan dan dinamik, memberi persediaan mental dan fizikal yang mantap, serta mewujudkan pelajar yang konsisten dan seimbang dari segi rohani, mental dan fizikal mereka.

Di dalam konteks ini, guru perlu memainkan peranan yang penting, di mana pada mulanya guru perlu memahami masalah pelajar mereka secara psikologi. Contohnya masalah pelajar yang terlibat dengan gejala merokok, di mana seseorang guru itu hendaklah mendalami serta mendekati pelajar tersebut serta menanyakan kenapa pelajar itu merokok. Mungkin pelajar itu ada masalah di dalam soal yang berkaitan dengan pembelajaran atau pun masalah yang berkaitan dengan keluarga mereka. Dalam membantu menyelesaikan masalah ini, terdapat banyak cara untuk guru membantu masalah pelajar tersebut. Antaranya, guru boleh membantu pelajar tersebut dengan cara bersemuka terus dengan pelajar tersebut. Hal ini boleh dibuat dengan memanggil pelajar tersebut masuk ke dalam bilik kaunseling dan seterusnya menanyakan kepadanya tentang adakah dia menghadapi sesuatu masalah sehingga menyebabkan dia menjadi seorang perokok.

Seterusnya, peranan guru pula untuk memberitahu mereka bahawa perbuatan merokok itu adalah membahayakan kesihatan mereka serta menjelaskan kepada mereka tentang akibat buruk yang akan mereka terima kesan daripada perbuatan merokok itu. Bukan itu sahaja, perbuatan merokok juga turut memberi impak atau kesan yang amat bahaya kepada orang yang berada di sekeliling perokok itu terutamanya orang yang sedang mengandung kerana asap rokok itu boleh merencatkan pertumbuhan anak di dalam kandungan tersebut. Selain itu, perokok juga akan sentiasa mengalami krisis atau masalah kewangan kerana sering menghabiskan duit mereka untuk membeli rokok.

Guru-guru juga perlu meninjau atau pun melawat ke rumah pelajar yang bermasalah tersebut serta bertemu dengan kedua-dua ibu bapa pelajar tersebut dan sama-sama berbincang tentang masalah yang dihadapi mereka. Selepas menemui punca masalah yang timbul, peranan guru seterusnya pula adalah membantu meringankan masalah yang dihadapinya serta memberikan keyakinan kepada pelajar tersebut dengan memberi dorongan serta bimbingan dan menerapkan semangat yang baru untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Dalam hal ini, guru sama-sama membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar mereka. Walau pun pada dasarnya, guru tidak dapat membantu menyelesaikan masalah itu sepenuhnya, namun dengan bantuan dan bimbingan yang diberikan oleh guru kepada pelajar yang mempunyai masalah tadi, masalah mereka akan menjadi lebih ringan sedikit kerana ada orang yang sudi mendengar masalah mereka dan turut berkongsi bersama-sama masalah yang mereka hadapi.

Selain daripada itu, kegiatan pelajar menerusi gerak kerja ko-kurikulum juga dapat membina konsep kendiri dan meningkatkan esteem kendiri pelajar. Ia penting bagi melengkapkan pengetahuan dan pengalaman pelajar-pelajar tentang kegiatan luar bilik darjah kepada pelajar selain daripada kegiatan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Menerusi gerak kerja ko-kurikulum, perkembangan sosial, minat dan bakat pelajar dapat diseimbangkan dengan perkembangan mental mereka. Ia juga bertujuan untuk memberi pengukuhan dan pengayaan pembelajaran, saling lengkap melengkapi dengan pembelajaran di luar bilik darjah dengan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ianya bagi menyuburkan nilai-nilai murni, mengembangkan bakat dan kepimpinan yang ada pada diri pelajar tersebut serta menggalakkan kepada mereka supaya bersedia untuk berkhidmat terhadap masyarakat.

Ini termasuklah menerusi kerja-kerja seperti tolong- menolong di antara sesama pelajar, di mana dalam hal ini, perlu ada sifat kepimpinan dalam diri mereka dan mereka tidak boleh segan atau malu untuk bergaul dengan orang ramai. Dalam menjalankan gerak kerja ko-kurikulum, para guru hendaklah melatih pelajar-pelajar supaya saling tolong-menolong antara satu sama lain, perlu mempunyai sifat kepimpinan dan perlu bergaul dengan orang ramai. Dengan itu dapat membentuk sikap tolong-menolong dan berkepimpinan di kalangan pelajar. Gerak kerja ini juga dapat membantu menjadikan sekolah sebagai tempat yang menarik bagi pelajar-pelajar dan menggembirakan untuk pelajar-pelajar belajar.

Mata pelajaran yang tertentu yang diajar di sekolah seperti pendidikan agama dan moral, juga dapat membina konsep kendiri dan meningkatkan esteem kendiri pelajar. Dengan adanya pendidikan agama dan moral yang diwajibkan oleh kerajaan supaya diajar di dalam bilik darjah, guru-guru dapat membantu pelajar-pelajar menjadi insan yang berakhlak, bertanggungjawab kepada diri sendiri dan juga masyarakat. Ini kerana melalui matapelajaran ini, para pelajar diajarkan tentang nilai-nilai murni serta adab susila di dalam kehidupan dan juga pergaulan seharian.

Contohnya, sama ada di dalam mata pelajaran Pendidikan Islam atau pun Pendidikan Moral, kedua-duanya menganjurkan ke arah kebaikan dan menolak sebarang kejahatan yang timbul. Begitu juga dengan semua agama yang ada, tidak kira samada Agama Islam atau pun bukan Agama Islam, semuanya menganjurkan dan menyeru penganutnya ke arah berbuat kebaikan dan menolak sebarang perbuatan buruk atau jahat sesama manusia terutamanya di dalam pergaulan dan kehidupan seharian. Di dalam hal ini, guru memainkan peranan yang amat penting di dalam kelas untuk membantu pelajar-pelajar mencapai matlamat tersebut. Guru hendaklah menyampaikan kandungan matapelajaran tersebut dengan jayanya serta memastikan agar pelajar-pelajar mendapat dan memahami sepenuhnya apa yang telah disampaikan dan mempraktikkannya di dalam kehidupan dan pergaulan seharian mereka.

Selain daripada itu juga, menerusi lawatan dan persatuan tertentu, guru dapat membina konsep kendiri dan meningkatkan esteem kendiri pelajar. Dalam hal ini, guru-guru hendaklah membantu dan membimbing pelajar untuk menubuhkan satu persatuan di kalangan mereka sendiri supaya kesemua pelajar terlibat di dalam kegiatan berpersatuan ini. Ahli-ahli persatuan tersebut hendaklah terdiri sepenuhnya daripada kalangan pelajar dan guru hanya menjadi penasihat serta pembimbing persatuan tersebut. Persatuan ini ditubuhkan adalah untuk membentuk personaliti positif di kalangan pelajar, seperti cergas, tabah dan berani menghadapi sebarang cabaran yang akan mereka hadapi.

Guru hendaklah sentiasa membimbing dan memantau perjalanan persatuan tersebut dengan memberi tunjuk ajar kepada ahli-ahli persatuan tersebut supaya persatuan tersebut dapat berjalan dengan baik dan sempurna. Apabila persatuan ini dapat berjalan dengan baik dan lancar, ia sudah mencapai tahap yang dikehendaki oleh guru dalam membantu pelajar mereka untuk berorganisasi sesama mereka. Hasilnya, tahap konsep kendiri dan esteem kendiri pelajar akan meningkat dan mereka akan berjaya menjalankan aktiviti-aktiviti di dalam persatuan mereka dengan lancar dan berjalan dengan baik serta memperolehi hasil yang memuaskan sebagaimana yang di kehendaki oleh guru-guru mereka.

Selain itu, melalui kegiatan mereka dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berpersatuan ini, ia juga dapat mewujudkan perasaan saling hormat-menghormati dan mematuhi sebarang arahan dan perintah yang diberikan oleh ketua mereka. Ini kerana di dalam kegiatan berpersatuan ini, akan ada seorang pelajar di kalangan mereka sendiri yang akan mengepalai dan mengetuai persatuan tersebut. Jadi, secara tidak langsung ia akan membantu pelajar berorganisasi juga. Ini akan memudahkan lagi proses pembinaan konsep kendiri dan esteem kendiri di kalangan mereka. Seterusnya, di dalam berpersatuan ini, mereka akan di ajar bagaimana cara untuk menghadapi sebarang masalah yang akan timbul di dalam persatuan mereka.

Selain daripada itu, pembinaan konsep kendiri dan esteem kendiri pelajar juga dapat dipupuk dan disemai melalui kegiatan mereka di dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berkumpulan dan membuat projek, di mana guru-guru hendaklah melatih pelajar-pelajar bekerja dalam satu kumpulan. Ini adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berdikari, berdisiplin dan tolong-menolong. Dengan menjalankan aktiviti sedemikian, sifat-sifat di atas tadi secara sendirinya akan terbentuk di kalangan pelajar-pelajar. Seterusnya, ia dapat memastikan kerja yang dibuat oleh pelajar tersebut berjalan dengan lancar dan sempurna serta mencapai matlamat aktiviti tersebut. Sekiranya aktiviti tersebut tidak dapat dijalankan dengan sempurna, maka akan muncullah perasaan tidak puas hati dan dendam di kalangan ahli-ahli kumpulan tersebut.

Menerusi kegiatan berkumpulan dan membuat projek ini juga, sikap berdikari, berdisiplin dan saling tolong-menolong amat perlu dan penting bagi setiap pelajar kerana ianya akan turut membantu perkembangan dan kemajuan di dalam bidang pelajaran mereka. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui perbezaan di antara pelajar yang berdikari dengan pelajar yang tidak berdikari. Contohnya, pelajar-pelajar sekolah yang tinggal di asrama adalah lebih berjaya di dalam bidang pengajiannya berbanding dengan pelajar yang tinggal di rumah bersama-sama dengan ibu bapa mereka. Kebiasaannya mereka mendapat keputusan yang lebih baik dan cemerlang di dalam pelajaran. Ini kerana di asrama, mereka di ajar supaya belajar berdikari dan tidak terlalu bergantung harap kepada orang lain.

KESIMPULAN:

Menerusi kajian yang telah kami jalankan ini, dapatlah disimpulkan bahawa di dalam usaha untuk membantu mewujudkan dan membina konsep kendiri dan meningkatkan esteem kendiri pelajar, guru memainkan peranan yang amat penting. Ini termasuklah peranan para guru di dalam menyampaikan pengajaran kepada pelajar-pelajar mereka secara jelas serta berkesan, supaya pelajar-pelajar mereka benar-benar dapat menerima dan memahami tentang apa yang telah diajarkan oleh mereka.

Walaupun begitu, tanpa ada usaha dan kegigihan yang sepenuhnya daripada pelajar itu sendiri, semua ini tidak akan berjaya dengan sepenuhnya. Ini kerana peranan para pelajar sendiri juga amat penting dalam merealisasikan matlamat ini. Selain membuat latihan serta mengulangkaji pelajaran di dalam bilik darjah, mereka juga perlu terlibat dengan kerja-kerja di luar bilik darjah yang mana akan dapat membantu membentuk konsep kendiri dan meningkatkan esteem kendiri mereka. Tanpa usaha yang benar-benar kuat serta bersungguh-sungguh daripada mereka, usaha untuk membentuk konsep kendiri dan meningkatkan esteem kendiri di kalangan pelajar ini tidak akan berjaya sepenuhnya.

Seterusnya, walaupun tidak dikupas tentang peranan yang dimainkan oleh kedua-dua ibu bapa pelajar, tidak dinafikan bahawa peranan yang dimainkan oleh mereka berdua juga amat penting. Walaupun sentiasa sibuk dengan urusan pekerjaan seharian mereka dalam mencari sumber kewangan bagi membiayai pelajaran anak-anak mereka, mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajaran dan pendidikan anak-anak. Mereka juga perlu meninjau prestasi anak-anak mereka dari masa ke semasa dalam memastikan bahawa anak-anak mereka benar-benar belajar secara bersungguh-sungguh. Mereka perlu meluangkan masa untuk bersama-sama dengan anak-anak mereka walau pun sekejap terutamanya semasa anak-anak sedang mengulangkaji pelajaran kerana ini akan dapat menambahkan lagi nilai motivasi dalam diri anak-anak kerana mereka sedar bahawa ibu bapa mereka sentiasa mementingkan tentang pendidikan mereka walau pun sentiasa sibuk dengan urusan kerja seharian.

SENARAI RUJUKAN:

Battle, J.A. & Shahnon, R.L. 1978. Gagasan Baru Ilmu Pendidikan. Terjemahan Jakarta: Penerbit Mutiara.

Blair Jones & Simpson. 1955. Educational Psychology.

Encik Ruslin Bin Amir. 2007. Konsep Kendiri, Esteem Kendiri dan Efikasi Kendiri. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hasnan Bin Kasnan. 2003. Ke Arah Menjadi Pelajar Yang Cemerlang Dan Terbilang. Percetakan Otopack & Print Sdn Bhd.

Kamus Dewan. 1994. Edisi Ketiga. Percetakan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Profesor Atan Bin Long. 1976. Psikologi Pendidikan. Percetakan Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

0 ulasan: